IPOH 7 April – Pertindihan yang merangkumi sistem pendidikan, pensijilan, kekangan dana pembangunan serta ketidaktentuan nasib graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi dan diselesaikan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, justeru itu dengan tertubuhnya Jawatankuasa Pemerkasaan TVET, diharapkan impak positif dapat dilihat dalam menangani isu tersebut.

Menurutnya, jawatankuasa itu diharapkan dapat melaksanakan penyelarasan dan rasionalisasi merangkumi urus tadbir, penjenamaan, kualiti, industri dan pembiayaan.

“Bagi memperkasakan program TVET, peranan industri perlu dipertingkatkan bagi memastikan inisiatif dan usaha kerajaan mencapai sasarannya.

“Fasiliti dan perkhidmatan pendidikan TVET yang mantap tidak akan memberi makna tanpa penglibatan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Sambutan 50 Tahun Jubli Emas Politeknik di Politeknik Ungku Omar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE