IPOH: Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (Perak) atau SBM bakal memiliki bangunan sendiri, setelah hampir 14 tahun menyewa premis di Medan Kidd, dan tidak lagi mampu menampung jumlah ahli yang mencecah lebih 300 orang.

Khabar gembira itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Masyarakat Sivil, Orang Asli, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Pengguna, A.Sivanesan bagi menyatakan keprihatinan dan sokongan kepada golongan tersebut.

“Saya akan bawa perkara ini dalam Mesyuarat Exco akan datang dan pihak kita akan kenalpasti kawasan yang sesuai dan kerajaan negeri juga perlu menyumbang kepada pertubuhan ini untuk mereka menjalankan aktiviti.

“Kita beri penghargaan dengan mereka sendiri yang memilih di mana sepatutnya bangunan SBM yang baharu, jika ada saya akan pastikan ia akan diberikan pada mereka.

“Kalau mereka berpendapat Simpang Pulai jauh, dan mahu yang lebih dekat di sekitar sini (Ipoh) terpulang, atau pun saya akan cari bangunan kerajaan yang tidak digunakan untuk tujuan itu, oleh itu tidak timbul isu sewa bangunan selepas ini,” katanya.

Sivanesan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan SBM 2018 Edisi ke-12 di Tower Regency Hotel & Apartments, di sini pada Sabtu.

Yang turut sama, Presiden SBM, Mohammed Nazari Othman dan Pengerusi SBM Perak, Idris Hashim.

Dalam pada itu, Sivanesan turut mengumumkan peruntukan tahunan berjumlah RM 5,000 untuk kegunaan pertubuhan itu, di samping komited membawa beberapa isu berkaitan golongan cacat penglihatan.

“Saya sudah membangkitkan isu mereka beberapa kali dalam Sidang Dewan Undangan Negeri khususnya pekerjaan, kadangkala saya berpendapat segelintir individu memandang rendah kebolehan yang ada pada golongan ini.

“Ada pensyarah, doktor dan ramai lagi orang hebat dalam komuniti ini, suatu masa dulu terdapat Menteri di England iaitu David Blunkett juga cacat penglihatan,” katanya.