IPOH- Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari menyifatkan tindakan PKR negeri yang mencadangkan agar seorang Exco dari parti itu ditukarkan sebagai ‘ribut dalam cawan’.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau berkata sehingga kini tiada sebarang pertemuan atau perbincangan berhubung cadangan itu dengan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

“Saya tiada komenlah, saya pun sudah lama hampir 20 tahun dalam Keadilan.. dah tiga penggal sebagai wakil rakyat. Bagi saya ini cuma ribut dalam cawan.

“Apa perkara pun boleh kita selesaikan dengan cara baik, dan hari ini sudah jadi kerajaan jadi harapan saya apa juga isu boleh selesaikan ibarat satu keluarga, supaya rakyat lebih yakin pada kerajaan baru,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Perak 2019 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.

Abdul Yunus berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Farhash Wafa yang mendakwa sudah mengadakan perbincangan bagi pertukaran seorang Exco kerajaan negeri dari parti itu.

Terdapat dua Exco dari PKR iaitu Abdul Yunus dan Tan Kar Hing sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri.