IPOH– Pertukaran haiwan di antara Zoo Taiping dan Fukuoka, Jepun yang dijangka dilakukan tahun ini, merupakan simbolik kepada hubungan erat di antara kerajaan negeri Perak dan bandaraya tersebut.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, perbincangan lanjut akan dijalankan oleh kedua-dua pihak bagi mengenal pasti jenis dan bilangan haiwan yang sesuai untuk diletakkan di zoo masing-masing.

“Saya harap dengan jalinan persahabatan ini kita dapat perkukuhkan lagi kerjasama di antara kedua pihak (Taiping dan Fukuoka), banyak lagi jaringan kerjasama dapat kita jelmakan di masa akan datang.

“Ianya bukan untuk selama-lamanya (pertukaran haiwan), ia hanya untuk tempoh masa tertentu sahaja, kita pinjamkan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan Bandaraya Fukuoka di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.

Yang turut sama Datuk Bandar Fukuoka, Takashima Soichiro dan Yang Dipertua MPT, Datuk Abdul Rahim Md Ariff.

Dalam pada itu Abdul Rahim dalam ucapannya menyifatkan kerjasama itu sebagai satu sejarah dan peluang keemasan buat bandar Warisan Taiping mempromosikan eko-pelancongan ke seluruh dunia.

“Taiping tiada pantai, bangunan pencakar langit atau pusat membeli belah yang besar, namun begitu kami mempunyai nilai warisan, lokasi pelancongan dan sejarah, makanan dan banyak perkara unik di sini untuk dibangunkan ke peringkat antarabangsa,” katanya lagi.