PENAMPANG: Seorang ibu yang curiga melihat perubahan saiz tubuh anak gadisnya, hampir pitam apabila mengetahui anaknya itu disahkan mengandung lapan bulan selepas menjalani ujian kehamilan, semalam.

Susulan itu, ibu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, jam 4.49 petang semalam yang anaknya berusia 14 tahun dirogol oleh teman lelaki.

Anak perempuannya itu dipercayai dirogol seorang lelaki berusia 20-an yang dikenali di rumah sepupu suspek di Country Height di sini, pada November lalu.

Difahamkan, ketika kejadian suspek mengambil mangsa di Kinarut, kemudian dibawa ke rumah sepupunya itu. Selepas tiga hari, remaja itu diambil oleh ibunya.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.

“Ibu gadis terbabit ada menghubungi suspek untuk bertanyakan hal itu, namun suspek tidak mengakui perbuatannya. Susulan itu, ibu gadis terbabit membuat laporan polis, semalam.

“Polis kini giat mengesan suspek yang masih bebas dan kes disiasat mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya – berita harian