TAPAH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry memberi jaminan projek perumahan untuk bekas tentera dan polis tetap diteruskan walaupun mengalami kelewatan.

Beliau memberi contoh projek perumahan perwira di Seri Iskandar yang tergendala selepas dilancarkan beberapa tahun lalu telah mendapat kebenaran merancang.

Menurut beliau, kerajaan negeri ikhlas untuk membantu veteran tentera dan polis yang masih belum memiliki rumah.

“Kritikan beberapa pihak tidak akan melemahkan semangat kita kerana kita kerajaan yang prihatin, kita membuat ini semua atas dasar ingin membantu veteran yang telah berjasa kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Program Khas Perumahan Perwira Negeri Perak (PKPPNP) Mukim Batang Padang di Tapah Road di sini pada Khamis.

majlis-pecah-tanah-zambry 3

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, S. Thangeswary, beberapa ahli Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, Datuk Rusnah Majid dan Datuk Samsudin Abu Hassan serta Ahli Parlimen Tapah, Datuk M Saravanan, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal dan Pegawai Daerah Batang Padang, Azizi Abd Aziz.

Dr Zambry berkata, selain daripada perumahan khas itu, kerajaan negeri juga akan membahagikan sebahagian unit di Rancangan Perumahan Tersusun untuk diberi kepada veteran tentera dan polis.

Beliau memberi contoh, RPT di Teluk Intan yang memperuntukan 150 unit kepada veteran berkenaan melalui persatuan veteran masing-masing.

“Kita bukan buat pandai-pandai sendiri, sebaliknya kita berbincang dengan persatuan veteran kerana ini rumah untuk ahli-ahli mereka dan kita mendapat maklum balas yang baik daripada mereka,” ujarnya.

PKPPNP Mukim Batang Batang dibina di atas kawasan seluas 50 ekar dengan 596 unit rumah dengan keluasan 1,000 kaki persegi dan 10 unit kedai rakyat.

Ia dijual pada harga subsidi kerajaan antara RM145,000 dan RM221,000, bergantung kepada keluasan tanah.