NILAI: Perjalanan pulang perunding teknologi maklumat (IT) ke rumahnya di Johor Bahru tidak kesampaian apabila meninggal dunia dalam keretanya di Hentian Rehat Nilai, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata Lawrence Liew Chee Wei, 40, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di sisi teman wanitanya yang berusia 39 tahun pada jam 8.40 pagi.

Katanya, sebelum kejadian, kedua-dua mereka berada di Cyberjaya atas urusan peribadi dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Johor Bahru.

“Ketika sedang memandu, Lawrence mengadu sakit dada sebelum memberhentikan keretanya di tepi jalan di hentian itu. Tidak lama kemudian mangsa tidak sedarkan diri,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata, teman wanita mangsa yang juga seorang akauntan, menghubungi talian kecemasan sebelum ambulans dan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dihantar ke lokasi.

“Sebaik anggota tiba, lelaki itu didapati sudah meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan keterangan wanita itu, teman lelakinya mempunyai penyakit jantung.

“Laporan bedah siasat dikeluarkan petang semalam menunjukkan punca kematian disebabkan ‘Coronary Artery Occlusion’ atau saluran darah dalam jantung tersumbat. Mayat diserahkan kepada ahli keluarga,” katanya.

Tambah beliau lagi, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) – berita harian