KUALA LUMPUR: Jumlah peruntukan kepada institusi pengajian tahfiz adalah berbeza berdasarkan data bilangan murid yang diberikan kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berkata sebanyak 571 buah institusi tahfiz berdaftar di seluruh negara layak menerima bantuan berkenaan.

“Daripada jumlah itu sebanyak 34 buah institusi tahfiz berdaftar di Kelantan telah menerima bantuan baru-baru ini dan jumlahnya berbeza antara institusi mengikut data bilangan murid,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini bahawa 12 pengetua tahfiz di Kelantan melahirkan rasa tidak berpuas hati terhadap peruntukan yang diberikan oleh kerajaan terhadap 28 institusi pengajian tahfiz baru-baru ini.

Menurut laporan itu, Pemangku Presiden Sekolah-Sekolah Tahfiz Malaysia (Permata) Ya’akob Wan Harun berkata 12 pusat tahfiz itu masing-masing hanya menerima RM15,000 manakala 16 pusat tahfiz lagi masing-masing menerima RM100,000.

Ya’akob berkata pengagihan peruntukan itu juga disifatkan sebagai tidak adil serta telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pengetua kerana mereka telah berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebelum ini.

— BERNAMA