KUALA LUMPUR: Kerja pembaikan bumbung bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Kota 1, Setapak di sini, yang tercabut akibat dipukul ribut petang semalam akan dibuat segera dalam masa terdekat.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya sudah mengarahkan pegawainya melakukan siasatan dan menyediakan laporan lengkap mengenai kerosakan yang berlaku untuk tindakan pembaikan.

“Dalam kes di SK Danau Kota pegawai kita sudah ada sana hari ini.

“Insya-Allah kita akan siapkan dengan segera pembaikan bangunan yang sudah rosak melalui peruntukan khas,” katanya selepas merasmikan majlis Perasmian Bangunan Baharu SK Seri Perak, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3 petang semalam, bumbung sepanjang lebih 10 meter itu yang dipukul ribut terhempas di bawah bangunan sekolah tiga tingkat itu.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Sementara itu, Mahdzir berkata, kementeriannya sentiasa menerima laporan daripada jabatan pendidikan negeri mengenai sekolah yang memerlukan bantuan pembaikan bangunan yang usang dan rosak dan dilakukan mengikut peruntukan khas.

“Arahan kepada semua sekolah supaya menghantar laporan mengenai kerosakan memang ada dan tindakan (pembaikan) sudah dibuat secara berperingkat mengikut keperluan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bangunan baru SK Seri Perak dibina dengan kos RM17.5 juta dengan keluasan 7,000 meter persegi dan dilengkapi 12 bilik darjah.

Beliau berkata, sebelum ini sekolah itu terpaksa menumpang di bawah bangunan Perumahan Seri Perak di Bandar Baru Sentul.

“Dengan adanya bangunan sekolah baru ini dapat memberi keselesaan untuk 225 muridnya mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran,” katanya – berita harian