IPOH: Kerajaan negeri Perak akan menyediakan peruntukan khas untuk kerja-kerja baik pulih tanah runtuh yang melibatkan lapan buah rumah di Taman Silibin Indah, di sini.

Bagaimanapun, jumlah peruntukan akan diputuskan dalam mesyuarat Exco yang akan dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, esok.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, peruntukan itu dipohon melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kinta bagi membaik pulih struktur cerun di taman berkenaan yang terletak berhampiran Sungai Tambun.

“Demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan, saya penuh yakin peruntukan ini akan disegerakan disalurkan kepada sama ada Pejabat Tanah Daerah ataupun melalui JPS atau JKR sebagai pelaksana projek tersebut.

“Esok ada mesyuarat exco, saya sendiri saya akan bercakap dengan Menteri Besar dan Pegawai Kewangan Negeri supaya peruntukan ini disegerakan,” katanya.

Beliau ditemui ketika melawat kawasan kejadian hari ini yang menimbulkan kebimbangan penduduk kerana didakwa tiada sebarang tindakan walaupun telah berlaku hampir tiga minggu.

Menurutnya, antara kemungkinan yang menyebabkan berlaku runtuhan cerun di kawasan itu ialah kerja-kerja penambakan tebing tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain penggunaan jentera dan bahan tambahan serta binaan tambahan di atas kawasan penampan.

Mengenai notis yang dikeluarkan kepada penduduk oleh pihak Majlis Bandaraya Ipoh yang antara lain meminta penduduk meruntuh atau membaiki struktur yang merbahaya atau mengosongkan kediaman dalam tempoh tujuh hari, Zolkafly berkata, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada Datuk Bandar Ipoh esok.

Sementara itu, penduduk terlibat berharap peruntukan khas yang diumumkan itu akan disegerakan bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin serius.

Mohd Rashid Mohd Yusof berharap setelah menunggu tiga minggu, mereka berharap perkara itu dapat diselesaikan segera.

“Esok ada mesyuarat exco, kalau pihak di sana mengatakan ini adalah perkara yang kecemasan, bertindaklah mengikut norma kecemasan, janganlah kami terpaksa menunggu lagi tiga minggu.

“Kita hargai, kita memahami tetapi kita memendam, menahan marah yang pada kami ada asasnya. kita dah cukup dengan alasan dan kita nak lihat sesuatu yang konkrit,” ujarnya.

Pesara, Mohammad Rosli Mohammad Ginda, 57, juga mahukan agar kerja-kerja baik pulih itu disegerakan kerana mereka telah menunggu terlalu lama.

“Kami hanya menunggu tapi dalam masa yang sama kami nak menuntut kepada pihak berkuasa supaya mempercepatkan kerja-kerja pembaik pulih kawasan tanah runtuh ni,” katanya.