BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan menyerahkan peruntukkan sama rata Ahli Parlimennya kepada DUN Hutan Melintang dan DUN Rungkup berjumlah RM6 juta jika kedua-dua kerusi itu dimenangi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia sebagai tanda penghargaannya kepada rakyat Bagan Datuk yang terus memberi kepercayaan kepada BN untuk terus berkuasa di situ.

Menurut beliau, sekiranya calon BN di DUN Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi menang, mungkin ramai bertanya, apa yang akan cawangan dan komuniti rakyat India, Cina dan Melayu di situ akan dapat.

“Jangan risau, sebagai Ahli Parlimen, saya mendapat peruntukan RM6 juta setahun, saya akan bagi peruntukan RM3 juta kepada Hutan Melintang dan RM3 juga untuk Rungkup.

“Kalau setahun RM3 juta, maka kalau dihitung selama lima tahun maka setiap DUN akan memperolehi RM15 juta, jadi bolehlah mereka gunakannya untuk bantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ramah mesra bersama penduduk dan petugas jalinan rakyat (JR) dan program kenduri kampung cawangan Kampung Badri di sini hari ini.

Turut hadir Khairuddin dan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar .

Peruntukan itu boleh digunakan untuk melaksanakan projek kecil-kecil manakala bagi projek besar, akan digunakan peruntukan lain.

Sementara itu, kempen yang masuk hari ketiga malam ini turut menyaksikan Ahmad Zahid menggunakan hampir 70 peratus ucapannya dalam bahasa Jawa.