IPOH: Kerajaan negeri Perak turut menyediakan peruntukan untuk memperkasakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan Selasa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, Perak mungkin menjadi satu-satunya negeri di negara ini yang menyediakan peruntukan seumpama itu.

Bagaimanapun, kata beliau, ia bukanlah dalam jumlah yang banyak, sebaliknya sekadar untuk membantu meringankan beban kewangan NGO.

“Tidaklah banyak kerana kita mahu NGO juga berusaha sendiri, tanpa mengharapkan sepenuhnya daripada kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Cahaya Deepavali 1Malaysia di Dewan Bandaran Ipoh di sini, pada Sabtu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Prof Madya Dr. Richard Ng yang juga Pengerusi Ipoh City Watch dan Kohijau dan Timbalan Pengerusi Penganjur, Datin Normah Hanum Ibrahim yang juga Pengerusi Persatuan Prihatin Wanita Perak.

Pesta Cahaya Deepavali 1 Malaysia dijayakan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) oleh 25 NGO dan tiga agensi kerajaan.

Samsudin berharap, selain menjaga kepentingan ahli-ahli, NGO juga dapat memainkan peranan untuk menjelaskan mengenai dasar dan polisi kerajaan kepada rakyat.

Menurut beliau, usaha itu perlu bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan negara berbilang kaum dan agama ini akan terus terpelihara.

Pada majlis itu, Samsudin turut menyampaikan sumbangan kotak makanan sumbangan Yayasan Bina Upaya (YBU) di samping menyaksikan persembahan daripada pelbagai kaum.

Sementara itu, Dr. Richard berkata, inilah pertama kali banyak NGO bergabung tenaga untuk menjayakan program seumpama itu, yang melibatkan semua kaum di negeri ini.