IPOH: Perutusan Tahun Baru 2018 Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melonjak semangat penjawat awam untuk membantu meneruskan kecemerlangan negeri Perak.

Penjawat awam yang ditemui turut menyatakan rasa kagum dengan keterbukaan Dr Zambry berkongsi maklumat pencapaian sejak beliau menerajui kepimpinan negeri pada 2009.

Pekerja am Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Salman Najmudin, 50, berkata, sebagai penjawat awam, dia tambah bersemangat untuk terus membantu menjadikan MBI sebagai PBT terbaik dan bandaraya terbersih negara.

“Menteri Besar telah melaksanakan apa yang beliau janjikan, terima kasih di atas komitmen beliau dan kita yang di bawah ini juga kena jalankan tanggungjawab masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Executive Talk & Perutusan Tahun Baru 2018 di Ipoh Convention Centre di sini, pada Selasa.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, barisan exco kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat turut hadir di majlis itu bersama-sama kira-kira 3,500 penjawat awam dari seluruh negeri.

Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Perak, Mohd Nadzri Mohd Khairuddin, 35, pula berkata, sebagai penjawat awam agensi Persekutuan, beliau akan sentiasa berusaha untuk membantu menjayakan program di negeri ini.

Beliau yang baru dua bulan bertugas di negeri ini turut melahirkan rasa kagum dengan pencapaian Perak di bawah kepimpinan Dr Zambry dan menyifatkannya sebagai negeri yang terbaik dari segi pengurusan dan khidmat kepada rakyat.

Beliau juga yakin Perak mampu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) yang baik pada September ini kerana persiapannya boleh dikatakan mencapai 99 peratus.

Pengarah MARA Perak, Yahaya Sani juga optimis pihaknya mampu menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan agensi-agensi kerajaan negeri di dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan usahawan, pendidikan dan pelaburan.

“Perutusan Menteri Besar tadi benar-benar memberi motivasi kepada kami penjawat awam untuk terus komited melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan untuk rakyat,” ujarnya.