Perwakilan Dewan Belia Perak yang tidak menunjukkan minat mahu pun dengan sengaja tidak menghadirkan diri dalam persidangan boleh digugurkan menerusi pencalonan di masa akan datang.

Menteri Besar,Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan sebarang penyertaan dan pemilihan perwakilan selepas ini akan dilaksanakan lebih ketat bagi menentukan komitmen para perwakilan selain tidak mengambil mudah tanggungjawab yang diamanahkan.

“Saya mahu mereka menganggap sidang ini sama seperti mana sidang DUN, oleh itu saya cadangkan supaya mereka yang tidak menunjukkan minat digugurkan dan tidak dinamakan lagi untuk persidangan akan datang.

“Kalau ikut peraturan dewan sewaktu sidang DUN pun sekiranya ahli dewan yang tidak datang dua kali berturut-turut tanpa memaklumkan, dengan sendirinya dia gugur sebagai ADUN dan boleh dibuat pilihanraya baru.

“Selain itu kekerapan tidak hadir itu sudah menunjukkan mereka tidak berminat. Tapisan yang kita buat nanti bukan bermakna dari segi mereka dalam kumpulan mana tapi lebih cenderung kepada komitmen mereka,” ujarnya.

Dr.Zambry berkata demikian di sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Belia Perak Darul Ridzuan pada Sabtu.

Katanya lagi, Dewan Belia Perak merupakan platform tepat dan wajar digunakan sebaiknya oleh perwakilan untuk menyuarakan pandnagan dan aspirasi masing-masing terhadap Transformasi Nasional (TN50).

Sebanyak tujuh usul dibentangkan oleh setiap perwakilan yang mewakili tujuh jawatankuasa Ekonomi, Usahawan, Pelancongan dan Pengantarabangsaan;Jawatankuasa Sosial, Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita;Jawatankuasa Pendidikan, Kerjaya, Sukan, Kebudayaan dan Kesenian.

Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Modal Insan dan Integrasi Nasional; Jawatankuasa Teknologi Inovasi, Komunikasi dan Multimedia;Jawatankuasa Prasarana, Pembangunan, Kesihatan dan Alam Sekitar dan Jawatankuasa Pencegahan Jenayah,Masyarakat Sivil dan Patriotisme.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari ini turut dihadiri oleh Speaker Dewan Belia Perak, YB Salbiah Mohamed;Timbalan Speaker, YB Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, YB Datuk Shahrul Zaman Yahya, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sumber Manusia, YB Aznel Ibrahim dan YB Maslin Sham Razman.