KUALA LUMPUR: Perwakilan Kelab UMNO Luar Negara tidak dapat menahan air matanya apabila menyentuh isu Palestin dan Baitulmuqaddis ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini.

Wakil Kelab UMNO London Ahmad Syazwan Shah Shah Headan sebelum mengakhiri ucapannya mengutuk sekeras-kerasnya dan mengkritik tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan menafikan hak rakyat serta negara Palestin.

“Kami pelajar-pelajar luar negara hadapi polisi-polisi di luar negara. Kami rasai Brexit, ada juga lalui Arab Spring dan kami kini (tiba-tiba sebak) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Amerika Syarikat yang memindah (ibu negara) ke Jerusalem (Baitulmuqaddis) sebagai ibu kota Israel.

“Inilah yang kita tidak persetujui, inilah yang akan membuat provokasi, inilah yang membuat dunia tidak aman,” katanya dalam nada tersedu-sedu.

Ungkapan Ahmad Syazwan Shah turut diiringi laungan Allahuakbar oleh para perwakilan UMNO di Dewan Merdeka.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO ketika menyampaikan ucapan dasar semasa merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2017 semalam berkata Malaysia menolak sekeras-kerasnya cadangan menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel sampai bila-bila.

Ahmad Syazwan Shah turut menyeru pemimpin-pemimpin veteran UMNO yang dianggap sebagai ‘ibu dan ayah’ agar mengekalkan ukhwah serta tidak berpecah belah demi kestabilan parti dan negara.

“Kami berada di akhir zaman ibu dan ayah. Seandainya ibu ayah berusaha sungguh-sungguh dan menjaga parti ini di masa akan datang, di manakah kami kalau Jerusalem pun kita tidak dapat pertahankan,” katanya.

Dalam perbahasannya, Ahmad Syazwan Shah turut meminta kerajaan mendekati mahasiswa Malaysia di luar negara dengan lebih kerap memandangkan mereka terdiri daripada generasi milenia dan hidup dalam era dan suasana berbeza.

“Mereka mempunyai pemikiran, jiwa, kehendak yang berbeza. Dan sudah tentulah mereka memerlukan pendekatan politik berbeza. Inilah generasi yang tidak mengikut media arus perdana dan menjadikan media sosial sebagai rujukan utama.

“Mereka juga generasi yang terdedah dengan budaya politik negara-negara maju. Generasinya lebih kritikal dan skeptikal terhadap ahli-ahli politik. Malah generasi yang mahukan debat terbuka dan budaya bersemuka,” katanya.

Ahmad Syazwan Shah berkata atas dasar itulah Kelab UMNO Luar Negara kini bersungguh-sungguh memainkan peranan menekankan pendekatan ilmiah debat terbuka dan budaya berhujah bagi mendukung peranan dan usaha kerajaan di bawah kepimpinan Najib.

Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan pucuk pimpinan parti dan kerajaan agar perwakilan dalam Parlimen Belia Malaysia turut dibuka kepada pelajar luar negara.

“Kami menambahkan dapatan-dapatan dan perspektif analitis sepanjang berada di luar negara. Akhirnya Parlimen Belia ini dapat menterjemahkan penggabungan idea dinamik antara pelajar di dalam dan luar negara,” katanya. BERNAMA