TANJUNG RAMBUTAN: Pesakit Hospital Bahagia Tanjung Rambutan (HBTR), Ulu Kinta akan diberi kaunseling `Psychological First Aid’ bagi membantu mereka yang menghadapi gangguan dan kejutan berikutan insiden kebakaran di hospital itu petang semalam (Khamis).

Menurut Pengarah Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Dr. Norhayati Nordin, ketika ini terdapat seramai kira-kira 1,500 pesakit yang ditempatkan di 78 wad hospital berkenaan.

Katanya, selain pesakit, semua kakitangan hospital telahpun diberi kaunseling bagi mengatasi masalah kejutan memandangkan insiden kebakaran itu merupakan kali pertama berlaku di hospital tersebut.

Menurut beliau, bagi tujuan tersebut, pihak hospital telah menubuhkan kumpulan kaunseling `Psychological First Aid’.

“Kebakaran ini merupakan satu kejutan dan bagi saya semua pesakit perlu diberi kaunseling kerana bimbing kemungkinan ada pesakit yang trauma dan terganggu apabila melihat asap atau api semasa berlakunya kebakaran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi lawatan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon ke lokasi kebakaran di stor dan wad 11 hospital berkenaan pada Jumaat.

Dr Norhayati memberitahu, pihak hospital juga bercadang memantapkan kekuatan anggota pasukan bomba sukarelanya dengan menambah bilangan anggota, daripada 23 orang yang ada di samping penambahan peralatan pencegahan kebakaran.

Menurutnya, pihak hospital juga bercadang menempatkan seorang anggota bomba sukarela di setiap wad bagi memantau dan mengambil tindakan pantas menghalang sebarang kemungkinan berlakunya kebakaran.

Sementara itu, Dr Mah berkata, pihak forensik Bomba dan Penyelamat masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kebakaran.

Ekoran daripada itu, ujarnya, kawasan kebakaran tidak boleh digunakan sehingga selesai siasatan.

“Kerosakan awal didapati melibatkan struktur bumbung serta sebahagian dinding manakala kawasan wad tidak terjejas,” ujarnya.

Dalam insiden petang semalam, tindakan pantas anggota pasukan sukarela kecemasan Hospital Bahagia Tanjung Tambutan berjaya menyelamatkan 21 pesakit di wad 11 selepas berlaku kebakaran sebuah stor di hospital itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Datuk Yahya Madis berkata, kebakaran membabitkan sebuah stor berhampiran wad berkenaan bermula 1 tengah hari sebelum merebak ke bumbung wad 11.