ULU KINTA: Tindakan pantas anggota pasukan kecemasan Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, di sini berjaya menyelamatkan 21 pesakit di wad 11 dalam kebakaran sebuah stor di hospital itu petang Khamis.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Datuk Yahya Madis berkata, kebakaran membabitkan sebuah stor berhampiran wad berkenaan bermula 1 tengah hari sebelum merebak ke bumbung wad 11.

Menurut beliau, bomba berjaya mengawal serta memadamkan kebakaran dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

 

hospital-bahagia-3

“Kebakaran awal bermula diluar dari satu stor kecil dan api merebak naik ke atas siling yang dibuat daripada kayu lama.

“Api kemudiannya merebak ke bumbung… mujurlah semasa kejadian semua pesakit telahpun dipindahkan ke wad lain,’’ katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Menurut Yahya, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 1.09 tengah hari dan sampai ke lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

Katanya, kebakaran membabitkan 15 peratus bangunan stor dan wad yang sudah berusia lebih 50 tahun itu.

Beliau berkata, sebaik tiba api sudah berjaya dikawal oleh pasukan kecemasan Hospital Bahagia Ulu Kinta dan bomba bertindak memadamkan keseluruhan kebakaran.

Bagaimanapun, katanya, pihak bomba masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar kebakaran dan bangunan wad yang terbabit kini ditutup bagi tujuan siasatan.

Katanya, operasi memadam diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh P. Samasuvam dan tamat pada jam 2 petang.