IPOH: Seorang wanita maut setelah dipercayai terjun dari bangunan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian sekitar 3.10 petang itu, mangsa, Syanina Mohamad Zunaini, 21 dipercayai telah datang ke HRPB sebagai seorang pelawat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, hasil penelitian kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa telah naik ke tingkat lapan sebelum kejadian berlaku.

“Mangsa telah naik ke tingkat lapan dan merayau-rayau mencari tempat terbuka, sambil bercakap seorang diri dan menggerakkan tangannya.

“Selepas itu, memandangkan tiada tempat terbuka mangsa telah turun ke tingkat tujuh dan terjun kerana tiada grill atau penghadang pagar di lokasi berkenaan,” katanya kepada pemberita.

Jelasnya, mangsa yang telah berkahwin dan tidak mempunyai anak juga mempunyai rekod rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

Sum berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia berikutan kecederaan di bahagian kepala disebabkan jatuh dari tempat tinggi.

“Pihak keluarganya juga telah menuntut jenazah mangsa,” ujarnya.