PUTRAJAY A: Kementerian Kesihatan menafikan pesakit yang meninggal dunia di tandas wad di sebuah hospital semalam ialah penghidap COVID-19.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pesakit berkenaan pernah menjalani saringan COVID-19, namun keputusan negatif.

“Betul, ada kes kematian di hospital berkenaan, namun ia bukan membabitkan pesakit COVID-19.

“Setiap pesakit yang dimasukkan di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) secara automatik mereka akan dibuat saringan COVID-19,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Sebelum ini, BH melaporkan seorang lelaki ditemui meninggal dunia di tandas wad Hospital Serdang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof dilaporkan berkata, seorang pegawai polis yang bertugas di hospital berkenaan menerima makluman daripada jururawat memaklumkan kes berkenaan pada jam 7.40 malam tadi.