BANGI : Anwar Ibrahim berkata beberapa kes bagi kesalahan berkaitan keganasan perlu dipertimbangkan semula terutama melibatkan tahanan IS yang belum disahkan mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas.

Katanya, beliau berpengalaman bertemu tahanan di Sungai Buloh di mana mereka dipenjarakan kerana kesalahan kecil seperti memiliki baju yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas.

“Saya gesa supaya dikaji semula dan diberi pertimbangan seperti tahanan LTTE,” katanya merujuk kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam.

Anwar berkata beliau pernah menyuarakan perkara itu kepada pihak berkenaan termasuk menteri yang bertanggungjawab bahawa terdapat tahanan IS yang tidak dapat dipastikan hubungannya dengan aktiviti keganasan.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak akan berkompromi dengan keganasan.

“Perkara ini patut disegerakan. Kita patut keras pada keganasan. Tapi hal ini kita bezakan,” katanya.

Semalam, Peguam Negara Tommy Thomas menghentikan prosiding terhadap 12 individu yang dikenakan tuduhan berkaitan LTTE “berkuat kuasa serta-merta”.

Mengenai gambar pengasas dan pemimpin LTTE dalam telefon bimbit atau akaun Facebook setiap seorang 12 tertuduh berkenaan, Thomas berkata mempunyai gambar dan representasi lain yang berkaitan tidak menukar seseorang menjadi pengganas.

Beliau menjelaskan perbuatan pengganas adalah sekiranya perbuatan tersebut menyebabkan, atau dengan niat untuk menyebabkan, kematian orang lain.

Pada 10 Okt tahun lalu, 2 Adun, masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara 7 individu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Dua hari kemudian, polis menahan 5 lagi individu selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan yang dikelaskan sebagai pengganas di Malaysia sejak 2014.