Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAIPING: Seorang pesara kerajaan tersentak dengan tindakan seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang didakwa mengasari hingga mencederakan dirinya dalam sebuah insiden di tepi jalan raya di sini, hari ini.

Dalam kejadian tersebut, pesara berusia 59 tahun itu mendakwa cermin keretanya telah dipecahkan malah dirinya telah diugut serta dikasari oleh pegawai polis berkenaan berikutan ketidaksefahaman di jalan raya.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah ketika dihubungi mengesahkan laporan berkenaan.

“Pihak kami menerima laporan itu,di mana pengadu meneritahu beliau dikasari, diugut dan cermin keretanya telah dipecahkan oleh pegawai polis berkenaan gara-gara masalah di jalan raya. Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan ringan.

“Pihak kami memandang serius mengenai kes ini dan akan mengambil tindakan terhadap pegawai polis yang terlibat dan menjalankan siasatan secara adil dan tulus,”katanya kepada pemberita.

Jelasnya, pihak polis tidak akan berkompromi dengan pegawai polis terbabit sekiranya beliau didapati bertindak melanggar peruntukan undang-undang.

“Siasatan lanjut akan diteruskan di bawah Seksyen 324, 427 dan 506 dalam Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967,”katanya lagi.