IPOH: Seorang pesara dijatuhi hukuman denda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana menggunakan peralatan pemancar tidak diperakui sehingga menyebabkan gangguan frekuensi komunikasi kepada orang ramai, tiga tahun lalu.

Hakim Norashima Khalid menjatuhkan hukuman tersebut kepada Chung Heng Pong, 55, apabila dia mengaku bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama, Heng Pong didakwa menggunakan satu set peralatan pemancar audio video tanpa wayar yang tidak diperakui di rumahnya di Jalan Kledang Permai 16, Menglembu di sini, pada pukul 1 petang 14 September 2015.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 16(1)(6) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Heng Pong turut didakwa menyebabkan suatu pancaran radio daripada peralatan transmisi tersebut di lokasi dan waktu sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 238(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Norhani Mohamad Azhar manakala Heng Pong diwakili peguam bela, Ng Keem Foong.

Keem Foong dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh adalah seorang pesara yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Norashima menjatuhkan hukuman denda RM5,000 untuk pertuduhan pertama dan RM4,000 bagi kesalahan kedua.

Sekiranya gagal membayar denda, Heng Pong boleh dikenakan hukuman penjara selama setahun. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, satu aduan diterima pihak SKMM pada 13 Julai 2015 menyatakan terdapat gangguan frekuensi yang disyaki berpunca daripada rumah tertuduh.

Bertindak atas aduan tersebut, pegawai SKMM melakukan operasi di rumah tersebut pada 14 September 2015 dan hasil pemeriksaan mendapati gangguan itu berpunca daripada peralatan pemancar berkenaan. Tertuduh ditahan pada hari sama untuk tindakan lanjut.