IPOH – Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta pesara kerajaan di negeri ini untuk menghayati konsep pembelajaran sepanjang hayat demi terus memajukan diri sendiri.

Beliau berkata, walaupun telah bersara daripada memberi perkhidmatan kepada kerajaan namun golongan terbabit tidak seharusnya beranggapan kehidupan mereka sebagai manusia juga turut telah berakhir.

“Jangan anggap bila sudah bersara ini, habis semua “suis” ditutupkan ibarat sudah penghujung hidup.

“Hidup kita ini bukan begitu, kita ada pelbagai lagi tahap teruskan belajar mencari ilmu-ilmu dalam hidup ini, lakukan sesuatu untuk menyumbang kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang Tahun 2018 di sini pada Isnin.

Tambah Dr Zambry, konsep pembelajaran sepanjang hayat itu mustahak untuk diamalkan demi memastikan tubuh serta akal golongan berkenaan terus kekal cergas dan sihat.

“Dalam Islam juga kita disuruh belajar, tuntulah ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad, jadi cari ilmu agama serta ilmu-ilmu lain jadikan ia sebagai satu dorongan kita,” ujarnya.

Dalam majlis tersebut seramai 287 pesara telah diraikan yang terdiri daripada 152 orang pesara Jabatan Negeri, 101 pesara Pihak Berkuasa Tempatan dan 34 pesara dari Badan berkanun.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal.

“Daripada jumlah itu 243 pesara telah layak menerima insentif kerajaan negeri Perak berjumlah RM3,000 setiap seorang.

“Ini semua dilakukan demi menghargai jasa serta sumbangan pesara yang selama ini bersama-sama sebagai satu pasukan membangunkan Perak,” kata Dr Zambry.

Insentif terbabit diberikan kepada pesara-pesara yang telah berkhidmat sebagai kumpulan pelaksana, besara wajib atau pilihan, berkhidmat 20 tahun dan lebih serta berusia 50 tahun ke atas.