KUANTAN: Seorang pesara guru berputih mata apabila harapannya membuat temujanji dengan seorang wanita tidak kesampaian selepas ditipu seorang ejen sebuah agensi di Facebook, akhir bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata dalam kejadian pada 31 Mei lalu, mangsa berusia 64 tahun dari FELDA Jengka 13, Maran melihat iklan di Facebook Asian Dating Hookup yang menawarkan khidmat temujanji dengan wanita.

“Mangsa kemudian menghubungi agensi berkenaan melalui WhatsApp sebelum bercakap dengan seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Mrs Shiela dipercayai ejen agensi berkenaan.

“Selepas membuat perbincangan mangsa bersetuju dengan syarat yang dikenakan sebelum membuat tiga kali transaksi wang ke dalam akaun Maybank yang diberikan oleh suspek berjumlah RM3,700,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, selepas mangsa memasukkan wang berkenaan, wanita berkenaan meminta lagi wang daripada mangsa menyebabkannya curiga dan mengesyaki satu penipuan.

“Mangsa kemudian datang ke Balai Polis Bandar Jengka, Maran untuk membuat laporan polis, semalam. Kita sudah merakam percakapan mangsa dan sedang mengenal pasti suspek terbabit.

“Modus operandi suspek adalah dengan menawarkan khidmat temujanji dengan wanita yang tidak wujud di Facebook sehingga mendorong mangsa memindahkan wang ke akaun yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan – berita harian