IPOH: Gara-gara menerima rasuah RM300 ketika masih berkhidmat dua tahun lalu, seorang pesara Jabatan Mineral dan Geosains Perak didenda RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

Hakim S Indera Nehru turut memerintahkan tertuduh, R Thangavelu, 61, dihukum penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh didakwa menerima wang tunai RM300 daripada Mohamad Imran Abdullah yang diketahui mempunyai hubungan kerja rasminya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di bilik pejabat Tingkat 1, Bangunan Makmal Kimiabumi, Bahagian Perkhidmatan Teknikal Jabatan Mineral dan Geosains Perak di sini pada jam 4.10 petang, 4 September 2015.

Thangavelu yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan ketika dihadapkan pertama kali ke mahkamah pada 10 Ogos lalu, mengaku tidak bersalah tetapi menukar pengakuan kepada bersalah apabila kes itu disebut semula pada 16 November lalu.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin manakala Thangavelu diwakili oleh M Kathan.