KUALA PILAH: Kerusi roda yang diterima menjadi hadiah paling bermakna bagi pesara polis, Mohd Som Rahmat, 71, selepas dua tahun sukar berdiri dan berjalan kerana menghidap penyakit diabetes kronik.

Kerusi roda berkenaan disumbangkan oleh Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Kuala Pilah di rumahnya di Kampung Buyau Kiri, Seri Menanti, di sini, hari ini.

Isterinya, Hazizah Mauludin, 66, berkata suaminya menghidap penyakit itu sejak 10 tahun lalu tetapi keadaan semakin serius dua tahun lalu.

“Sejak itu, tahap kesihatan dan berat badannya semakin merosot selain kakinya membengkak menyebabkan dia sukar berjalan dan memerlukan penjagaan rapi.

“Malah, ingatan suami juga semakin berkurangan dan sukar bertutur,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan kerusi roda yang disempurnakan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok.

Turut hadir, Setiausaha Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Kuala Pilah, Tukiman Sibon.

Mohd Som berkhidmat selama 34 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bersara pada 2003 dalam Pasukan Gerakan Am di Gong Badak, Terengganu.

Sementara itu, Haslah berkata, pihaknya sentiasa memastikan kebajikan semua pesara polis di daerah ini tidak terabai, terutama mereka yang memerlukan bantuan – berita harian