BOTA – Seorang warga emas yang juga pesara polis maut selepas di gilis sebuah lori membawa muatan batu kuari di persimpangan lampu isyarat Bota Kanan, Lebuh Raya Ipoh-Lumut, sekitar jam 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, mangsa Dahari Ibrahim, 80 tahun berasal dari Kampung Aji, Bota Kiri, sedang menunggang motosikal sebelum dirempuh sebuah lori.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu lori berusia 37 tahun sedang memandu lori dari arah Ipoh menuju ke Lumut.

“Apabila sampai di lokasi kejadian sebuah motosikal ditunggang mangsa telah keluar dari susur Bota Kanan sebelah kiri jalan dan memasuki laluan sebelah kanan iaitu Jalan Ipoh – Lumut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, akibat jarak yang dekat pemandu lori berkenaan cuba mengelak motosikal yang ditunggangi mangsa, tetapi telah bergesal dan mengakibatkan mangsa maut di lokasi.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat jam 3 petang ini dan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya – sinar