SEREMBAN: Seorang pesara tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan mencabul anak angkatnya berusia 17 tahun, minggu lalu.

Lelaki berusia 64 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan itu di sebuah rumah di Bandar Springhill, Port Dickson, kira-kira jam 9 malam, 6 Julai lalu.

Pesara berkenaan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norsyazwani Ishak, tidak menawarkan jaminan sebelum peguam, Joseph Mathews merayu ikat jamin rendah dengan alasan tertuduh menghidap sakit jantung dan kencing manis.

Junaidah membenarkan ikat jamin RM8,000 dan mengarahkan supaya tertuduh serta ahli keluarga tidak menghampiri dan berkomunikasi dengan mangsa.

Mahkamah juga memerintahkan lelaki berkenaan melapor diri di Balai Polis Lukut pada 15 hari bulan setiap bulan sebelum menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

 

-BeritaHarian