KUANTAN 20 Mac – Seorang pesara tentera dan peniaga di sini menjadi mangsa macau scam dengan kerugian sebanyak RM94,600 setelah dikatakan mempunyai pinjaman peribadi tertunggak yang sebenarnya tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd.Wazir Mohd. Yusof berkata, kira-kira pukul 4.10 petang pada 15 Mac lalu, pesara tentera berusia 51 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai bank memaklumkan mangsa membuat pinjaman sebanyak RM70,000 dan terdapat tunggakan selama tiga bulan.
“Mangsa menafikan dan mahu membuat laporan polis kerana maklumat dirinya disalah guna namun mangsa terus disambungkan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dengan memaklumkan mangsa terlibat dengan penggubahan wang haram.

“Mangsa disambung pula kepada seorang ‘pegawai polis’ yang mengarahkannya membuka akaun di sebuah bank dengan memindahkan semua wang Amanah Saham Bumiputera (ASB) ke akaun tersebut yang akhirnya lesap selepas mangsa menyemak baki semalam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohd. Wazir, bagi kes kedua pula, seorang peniaga kerugian sebanyak RM35,600 apabila suspek menggunakan modus operandi sama kelmarin kira-kira pukul 1.30 petang dengan menghubungi dan memperdaya mangsa sehingga melakukan pemindahan wang.

“Siasatan lanjut diteruskan bagi memburu suspek yang terlibat. Saya harap kesedaran daripada masyarakat agar tidak mudah melakukan pemindahan wang dengan hanya satu panggilan.

“Seharusnya terus ke balai polis berhampiran untuk mendapatkan pengesahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE