PARIT BUNTAR : Kira-kira 35 keluarga pesawah di Kuala Kurau, Parit Buntar, Perak mengalami kerugian kira-kira RM400,000 apabila lebih 62 hektar sawah padi mereka diserang penyakit Hawar Bulir Bakteria atau Bacteria Panicle Blight (BPB) yang menyebabkan butir padi tidak berisi atau hampa.

Penyakit itu yang hanya dapat dikesan ketika padi berusia lebih 75 hari melibatkan Kompartmen B dan C, antaranya di Parit Gumpong, Parit Tanjung Piandang, Parit Haji Manan, Parit Mad Ali, Parit Sungai Baru, Parit Haji Samsuri dan Parit Haji Yusof.

Exco Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari, hasil kajian yang dilakukan oleh pihak Jabatan Pertanian, didapati terdapat simptom BPB pada padi tersebut yang dikatakan berpunca dari biji benih padi tidak sah.

Menurutnya, kerajaan negeri sangat prihatin masalah yang dihadapi pesawah berkenaan, lebih-lebih lagi dalam kesibukan mereka membuat persediaan persekolahan anak-anak.

“Bagi tindakan kawalan dan pencegahan, beberapa tindakan telah dan akan diambil di antaranya ialah yang pertama kita menyarankan pihak petani berusaha untuk menebas tunggul jerami bagi pembakaran yang lebih sempurna jerami padi.

“Kita juga mengaktifkan kembali kempen penggunaan dan rawatan padi benih sah di samping Jabatan Pertanian akan mengerakkan penerangan khusus untuk pencegahan penyakit BPB bagi persiapan aktiviti tanaman pada musim yang akan datang.

“Dalam masa sama, beberapa pemerhatian khusus kawalan dan pencegahan seperti pengurusan agronomi, kemudian pengunaan racun terkawal dan pengurusan nutrien yang tepat,” katanya ketika ditemui meninjau kawasan padi yang terlibat pada Isnin.

Sementara itu, beberapa pesawah menyifatkan serangan BPB adalah serangan penyakit padi terburuk di daerah berkenaan sejak 50 tahun lalu sehingga pihak kilang mengenakan pemotongan timbangan lebih 70 peratus, berbanding hanya sehingga 30 peratus sebelum ini.

Malah, terdapat kilang enggan menerima padi yang dijual pesawah dan jentera menuai pula enggan menuai petak sawah yang terkena serangan penyakit berkenaan.

Ketua Unit Parit Haji Samsuri dan Parit Haji Yusof, Md Hambali Md Arshad mengakui ada pesawah terpaksa menggunakan biji benih padi tidak sah kerana kekurangan bekalan.

“Apabila sudah sampai masa nak tabur tetapi benih tak ada, jadi kita akan bertanya kepada kawan-kawan siapa yang ada benih, yang menawarkan harga berbagai-bagai.

“Apabila orang terdesak, ada yang harganya tinggi daripada apa yang kita hendak dan mungkin ada yang tidak berkualiti tapi oleh kerana bendang perlu ditabur benih dengan segera, bermakna ada petani-petani yang tidak dapat mengelak mengambil benih-benih yang tidak betul-betul berkualiti atau benih yang ditauliahkan ataupun digredkan sebagai benih yang diluluskan oleh pihak kerajaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, mereka berharap agar pihak berkenaan, khususnya Jabatan Pertanian dapat menyediakan bekalan benih yang mencukupi untuk musim penanaman padi di masa hadapan.