IPOH: Kerajaan negeri bersimpati dengan nasib pesawah yang menanggong kerugian akibat fenomena El-nino, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad.

Sehubungan itu, ujar beliau, kerajaan negeri mengambil inisiatif memberi bantuan ehsan sebanyak RM250 seorang kepada pesawah padi.

Menurutnya, bantuan ini diuruskan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) dan semua pesawah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selinsing yang terlibat telahpun menerimanya.

“Di samping itu, kerajaan negeri juga, melalui Jabatan Pertanian telah menganjurkan kursus dan khidmat nasihat teknikal bagi membantu pesawah memperbaiki hasil padi mereka,” katanya ketika menggulung perbahasan di Sidang DUN pada Isnin.

Saarani memberitahu, sepanjang tempoh Januari hingga September 2016, sebanyak 31 kursus telah diadakan dengan penglibatan 553 orang dan ia akan diadakan dari semasa ke semasa bagi memastikan hasil padi tahun 2017 meningkat.

Beliau menjelaskan, peningkatan pemotongan harga padi sehingga 31 peratus adalah disebabkan oleh kemerosotan kualiti padi yang berpunca daripada masalah pengairan.

Beliau berkata, awal tahun ini, negara mengalami musim kemarau yang berpunca daripada fenomena El-nino yang menyebabkan bekalan air sawah kurang mencukupi, terutama di kawasan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian dan Empangan Tasik Merah.

“Terdapat pesawah yang lewat menanam padi atau terpaksa menangguh sedikit masa untuk menanam padi,” ujarnya.

Menurut beliau, faktor kekurangan air di sawah boleh mejejaskan hasil tanaman padi, dari segi kuantiti dan kualiti kerana rumpai bertambah dan padi mudah diserang penyakit.

Beliau menambah, adalah dijangkakan, pada tahun 2017, masalah air akan diselesaikan memandangkan musim kemarau telah berakhir.

“Dengan khidmat nasihat daripada Pejabat Pertanian Daerah Kerian dan Pejabat IADA Kerian, maka hasil padi akan dapat ditingkatkan, kualiti dapat dibaiki dan insya Allah, potongan harga padi akan dapat dikurangkan,” katanya.