Los Angeles: Tiga maut manakala dua lagi cedera selepas sebuah pesawat ringan terhempas ke atas dua kediaman seterusnya menyebabkan kebakaran besar di Riverside, California Selatan, semalam.

Ketua Bomba Riverside Michael Moore berkata, dua dewasa dan tiga remaja menaiki pesawat itu.

Cuma seorang daripada remaja berkenaan terselamat selepas tercampak ketika pesawat itu terhempas.

Penumpang pesawat berkenaan ialah dua remaja serta sepasang suami isteri yang dalam perjalanan pulang ke San Jose selepas persidangan pasukan sorak di Disneyland.

Seorang mangsa di dalam salah satu rumah terbabit turut cedera.

Punca kejadian tidak diketahui tetapi pihak berkuasa percaya ada kaitan faktor cuaca.

Penduduk di kawasan itu melaporkan melihat seorang wanita merangkak keluar dari satu rumah berkenaan dengan pakaiannya terbakar, sambil mendakwa dia juruterbangnya.

Pesawat Cessna 310 itu dilaporkan terhempas sejurus berlepas.

Sementara itu, penduduk yang terkejut dengan kejadian itu berkata, mereka pada mulanya menyangka ada bom meletup.

Ana Duran berkata: “Memang seperti bunyi bom. Saya mendengar orang menjerit dan bertempik.”

-myMetro