KUALA LUMPUR: Sebuah pesawat latihan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jenis Pilatus PC-7 MKII yang sedang dalam penerbangan latihan melakukan pendaratan cemas di landasan Kolej Tentera Udara (KTU), Alor Setar, Kedah, malam tadi.

TUDM, menerusi satu kenyataan awal pagi tadi, memaklumkan ketika kejadian, pesawat milik KTU itu sedang diterbangkan seorang pelatih daripada Kolej Penerbangan 1 (INSPENS 1) yang dalam latihan penerbangan solo pada waktu malam.

“Pesawat mula terbang pada jam 10.14 malam sebelum pesawat itu mengalami kecemasan ketika cuba melakukan pendaratan pada jam 10.38 malam.

“Bagaimanapun, pesawat terbabit berjaya mendarat dan juruterbang pelatih itu disahkan selamat tanpa sebarang kecederaan,” menurut kenyataan itu.

Susulan kejadian itu, TUDM akan menubuhkan satu pasukan penyiasatan untuk mengenal pasti punca kejadian dengan lebih terperinci – berita harian