ROMPIN: Seorang juruterbang warga Australia terselamat selepas pesawat ringan dipandunya terhempas di Ladang Kampung Melati, Muadzam Shah, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, Barry Allen Foster, 66, sedang melakukan operasi meracun ulat bungkus di ladang sawit di FELDA Keratong 2, dekat sini, sebelum pesawat milik Syarikat Woorayi Air Services dipandunya itu terhempas.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.18 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah, dekat sini serta polis dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 48 kilometer (km) dari bandar Muadzam Shah.

“Mereka menemui pesawat ringan berkenaan terhempas di ladang sawit milik Tabung Haji di Kota Bahagia berhampiran Kampung Lubuk Batu.

“Bagaimanapun, juruterbangnya warga Australia selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Pihak bomba turut membuat pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan tiada sebarang punca api yang boleh menyebabkan kebakaran di ladang sawit berkenaan dan mendapati semuanya selamat,” katanya – berita harian