SLIM RIVER: Kerajaan negeri tidak mengalakkan peserta Felcra memindah hak milik tanah mereka kepada individu lain walaupun ditawarkan dengan harga yang tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata ia bagi mengelak peserta yang lazimnya terdiri daripada golongan luar bandar itu dianiaya pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebelum ini terdapat banyak kes di mana orang luar datang dan tawarkan harga tinggi, peserta pun jual tapi akhirnya tidak dapat bayaran seperti dijanjikan, malah ditipu.

“Malah kes pemindahan hak milik tanah Ini juga semakin serius di Perak,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Penyampaian Hak Milik Tanah Projek FELCRA di Dewan Inovasi Kolej Vokasional Slim River pada Jumaat.

Justeru, beliau menasihati peserta untuk tidak rambang mata apabila ditawarkan harga tinggi sebaliknya mensyukuri apa yang telah diusahakan oleh kerajaan untuk mereka.

“Kalau betul memang tak mahu dah tanah itu serahkan atau jual sahaja kepada Felcra, Felda dan pelbagai lagi agensi kerajaan atau kerajaan negeri,” ujarnya.

Dalam majlis itu seramai 402 peserta dari Seri Gala dan Kampung Pasir di sini telah menerima sijil hak milik tanah melibatkan pegangan seluas 662.29 hektar tanah di bawah Akta Kawasan Tanah Berkelompok (GSA) 1960.

“Kita menyampaikan sijil hak milik tanah itu kepada peserta-peserta yang mana setiap seorang menerima tiga atau empat ekar tanah.

“Ini merupakan tanah GSA yang dianugerahkan kepada rakyat dan Felcra telah bantu mereka bangunkan,” jelas Saarani.