PENGKALAN HULU – Pesta Tasek Takong yang memasuki hari terakhir, hari ini, terpaksa dihentikan awal selepas menerima laporan terdapat seorang peserta menangkap itik hilang dipercayai lemas.

Pesta yang berlangsung sejak Jumaat lalu menganjurkan pelbagai aktiviti antaranya bot berhias dan pertandingan menangkap itik yang disertai kira-kira 50 peserta.

Bomba yang menerima laporan daripada orang awam itu bertindak menjalankan operasi mencari dan menyelamat di lokasi terakhir mangsa dilihat sebelum hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Hulu, Penolong Penguasa Bomba Syahirul Anwar Abdul Azam berkata, 19 pegawai dan anggota bertindak melakukan pencarian di permukaan selepas menerima maklumat pada jam 11.33 pagi.

“Seorang pengunjung pesta mendakwa terlihat seorang lelaki seolah-olah terkapai-kapai sebelum hilang dalam pertandingan menangkap itik itu.

“Setakat ini, operasi pencarian dihentikan sementara selepas pegawai daerah mengarahkan air tasik ini perlu dikeringkan bagi memudahkan pencarian mangsa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Menurutnya, tempoh masa empat jam diperlukan bagi menyurutkan air di tasik seluas kira-kira 1,000 meter persegi itu.

“Operasi ini turut melibatkan 23 pegawai dan anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pejabat Daerah Pengkalan Hulu.

“Bagaimanapun, kita tidak mempunyai sebarang maklumat mangsa mahupun laporan mangsa hilang setakat ini,” katanya – sinar