GOPENG: Lebih 5,000 spesies orkid serta 100 jenis buah-buahan dan sayur-sayuran akan dijual pada Program Fiesta Buah, Bunga dan Makanan 2017 anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) selama empat hari mulai 24 Ogos ini.

Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Mansor Omar berkata, program itu bakal berlangsung di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini bersempena sambutan bulan kemerdekaan.

Katanya, jualan ikan hiasan dan haiwan kesayangan, jualan makanan popular negeri, ulam-ulaman dan produk florikultur serta landskap akan turut diadakan pada program tersebut, selain pelbagai acara yang bermanfaat untuk pengunjung.

“Malah, kita menjual produk-produk dengan harga istimewa iaitu 50 hingga 70 peratus lebih murah daripada harga pasaran,” katanya dalam sidang media pada Majlis Pra-pelancaran Program 4F di sini.

Pesta 4F itu yang bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, juga dikenali sebagai FAMAfest dan dijangka menerima kunjungan lebih 200,000 pengunjung dari seluruh negara dan antarabangsa, katanya.

Mansor berkata, pesta jualan itu juga menyediakan seminar, bengkel keusahawanan dan program-program keagamaan termasuk ceramah agama daripada penceramah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim.

“Beberapa selebriti tanahair akan bersama-sama mempromosi dan menjual produk mereka seperti Fauzi Nawawi dan Datuk Seri Vida,” katanya.

Katanya, pengunjung juga boleh menikmati pelbagai makanan popular tempatan yang terbahagi kepada empat konsep iaitu makanan hispter, makanan tular (di laman media sosial), produk nostalgia dan ‘foodgasm’.

“Inilah salah satu tarikannya iaitu pengunjung dengan mudahnya boleh menemui makanan-makanan yang tular di laman media sosial semasa program tersebut yang kita kumpulkan terutama produk yang popular di Perak,” katanya.

Mansor berkata, antara objektif program tersebut adalah untuk mewujudkan rangkaian pemasaran terutama golongan usahawan, petani, pemborong, pengeksport dan peruncit selain memperluaskan lagi pasaran produk Agromakanan Tempatan.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan nilai jualan mencecah RM2 juta bakal dijanakan sepanjang program itu.

“Melalui penganjuran program ini, masyarakat dapat melihat peranan Fama dalam memasarkan hasil-hasil pertanian yang berkualiti pada harga yang berpatutan selain mempertingkatkan tahap keusahawanan serta menarik minat usahawan muda menceburi bidang pemasaran pertanian,” katanya.