IPOH: Pesta Songkran yang diraikan sejak 40 tahun lalu di kawasan Hulu Perak selama ini harus dilihat semula dari segi pembabitan umat Islam yang turut meraikannya.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang menyuarakan isu ini berkata umat Islam perlu memahami perbezaan di antara perayaan yang melibatkan kebudayaan dan keagamaan agar tidak terpesong akidah.

“Kita bukan nak kacau program itu kerana kita menghormati kebebasan beragama di negara ini, namun setiap tahun kita menerima aduan daripada masyarakat setempat (penglibatan umat Islam) dan tidak tahu bagaimana nak atasinya.

“Tetapi apabila pesta itu dibuat promosi secara besar-besaran daripada perasmian itu, orang-orang kampung hadir sama dalam program itu dalam bentuk pakaiannya dan keagamannya..dah jadi satu budaya negatif lah.

“Pesta Songkran ini merupakan melibatkan kebudayaan dan keagamaan Buddha tapi secara tidak langsung menarik orang Islam yang nak berpesta di situ, saya sudah bercakap dengan Exco Pelancongan Perak dan dia sendiri memahami keadaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Khamis.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS-Semanggol seterusnya berkata umat Islam sewajarnya berhati-hati khasnya dalam soal membabitkan akidah kerana jika tersilap, mereka boleh terpesong dari Islam.

“Kita perlu ada kefahaman tentang agama, yang dikatakan boleh terkeluar dari agama daripada perkataan, perbuatan, iktikaf dalam hati, dah banyak kita lupa sebab tu perlu kita jaga,” katanya lagi.