Oleh:Nazialita Geynna Maharan

PENGKALAN HULU: Basah lencun, mandi bedak, ratu cantik.

Sesiapa sahaja yang tahu mengenai sinonimnya kejadian di atas pasti pernah menghadiri atau menjadi mangsa pistol air di Pesta Songkran atau Festival Air yang merupakan tradisi masyarakat Siam sejak berpuluh tahun lepas.

Setelah 44 tahun perlaksanaannya, budaya warisan yang menandakan pertukaran Tahun Baru bagi masyarakat Siam itu masih lagi diteruskan di Kg Tasek, Pengkalan Hulu yang merupakan pusat perkumpulan pesta meriah tersebut.

Budaya menyimbah air merupakan kepercayaan adat Siam bahawa perlakuan itu menandakan peralihan ke kalendar tahun baru atau dalam bahasa Sanskrit, Songkran bermaksud perpindahan tahun.

Maha Songkran, kebiasaannya disambut pada 13 April merupakan kemuncak sambutan yang cukup meriah apabila masyarakat majmuk berbilang kaum turut serta menyerang pengunjung tiba dengan pistol air serta botol berisi bedak putih mereka.

Bagi Susamruad Yirak, 33, dia percaya bahawa pesta itu sebenarnya perlu diketengahkan kepada golongan belia dengan kefahaman lebih dalam.

“Ramai yang tidak memahami erti sebenar Songkran, mereka tahu sekadar bermandi air, memang seronok pun tetapi sewaktu saya masih kecil kami akan memandikan mak ayah, memberikan mereka baju baru sebagai tanda meminta berkat.

“Bagi mereka yang beragama Buddha, kaum lelaki akan ke wat atau tokong untuk gotong-royong membersihkan kawasan sekitar, inilah erti sebenar pesta ini, tetapi apa salahnya jika ia dijadikan pesta dari Siam, untuk diraikan rakan-rakan di seluruh negara, bukan?,” katanya yang sempat menabur bedak putih terhadap wartawan Suara Perak.

Pesta yang berlangsung sejak awal pagi di Dewan Kg Tasek, Pengkalan Hulu tampak cukup meriah dengan pertandingan Ratu Cantik Songkran yang mendapat siulan ramai pemuda.

Susamruad berka

ta, jika dahulu pertandingan tersebut hanya disertai penduduk sekitar Pengkalan Hulu namun kini ia telah menarik minat masyarakat Siam dari Perlis, Kelantan, Kedah dan Perak.

“Syarat dia senang sahaja, kena pandai cakap Siam dan mestilah suai mak-mak atau lawa,” katanya sambil tertawa kecil.

Harapannya, agar usaha yang telah diberikan oleh kerajaan negeri Perak dan kerajaan persekutuan dalam mempromosikan Pesta Songkran akan diteruskan pada masa hadapan agar kemeriahan dan tradisi itu tidak akan ditelan zaman.

“Kebetulan kalau di Thailand, April merupakan bulan paling panas, jadi memang seronok, dan di Pengkalan Hulu ini tidak kurang hangatnya.

“Tidak perlu ke Thailand merasai kemeriahan dan keriangan ditepuk bedak putih di muka, di Malaysia pun ada, tapi tak boleh marah kalau nanti basah kuyup,” ujarnya lagi.

Sepanjang melalui Kg Tasek pada Pesta Songkran, pastikan cermin kereta anda tertutup atau anda bakal diserang dengan pistol, baldi air dari masyarakat kampung yang terdiri dari pelbagai bangsa dan peringkat umur.

Sementara itu, D.R Ban Theng, bekas penghulu dan juga pengerusi Pesta Songkran 2017 berkata, pesta itu melibatkan penduduk berketurunan Siam yang menetap di sekitar Kampung Belukar Semang, Kampung Pong dan Kampung Bukit Asu.

“Saya akan terus giat mempromosi pesta yang sudah menjadi sebahagian daripada kalendar pelancongan, dan pada hari ini pelbagai aktiviti dianjur termasuklah pertandingan suara burung, gendang panjang, bola sepak tujuh sebelah serta pertunjukan band tempatan,” katanya.

Lebih daripada 2,500 pengunjung di sekitar wilayah Utara termasuk dari negara jiran Betong memenuhi ruang dewan Kg Tasek bagi perayaan tersebut dan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman.

Turut hadir, ADUN Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim serta ADUN Temengor, Salbiah Mohamed serta ketua-ketua jabatan dan agensi negeri Perak.