GOPENG: Padang awam di Medan Lapangan Lagenda di sini meriah diterangi oleh cahaya berwarna-warni lampu kertas sempena Pesta Tanglung yang berlangsung pada malam ini.

Pesta yang diadakan sempena pertengahan musim luruh itu dirasmikan oleh Ketua Wanita MCA yang juga Penasihat Perpaduan dan Integrasi Nasional di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Heng Seai Kie.

Pesta yang julung-julung kali diadakan secara besar-besaran itu dianjurkan oleh Dewan Perhimpunan Cina Perak dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Selain perarakan tanglung, banyak acara menarik turut diadakan seperti cabutan bertuah, peraduan teka-teki dan bufet makanan tempatan.

Menurut Seai Kie, pesta itu diadakan untuk mempromosi tradisi dan kebudayaan masyarakat Cina khususnya kepada generasi muda.

Selain itu, katanya, pesta itu bertujuan mempromosi perpaduan, kebersamaan, harmoni dan kemakmuran dalam masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia.