Kuala Pilah: Dua lelaki yang juga anak saudara dan bapa saudara cedera selepas bergaduh menggunakan parang dan buluh kerana berebut harta pusaka di Kampung Tengkek, Batu Kikir, di sini, kelmarin.

Kejadian jam 11 pagi itu berlaku sebaik lelaki berusia 50 tahun dan isterinya ke rumah arwah ibunya di kampung berkenaan untuk mengambil peti ais.

Sumber berkata, kehadiran pasangan itu dihalang bapa saudaranya berusia 60 tahun yang mendiami rumah berkenaan.

“Pasangan itu dimarahi bapa saudaranya sebelum menghalau mereka. Lelaki itu menegaskan tiada sesiapa dibenarkan memasuki kediaman hingga berlaku pertengkaran,” katanya.

Menurut sumber, pergaduhan tercetus sebaik bapa saudaranya mengambil parang dan cuba menetak suami isteri terbabit.

-myMetro