GOPENG: Jabatan Pertanian Perak menggesa pengusaha sektor pertanian di negeri ini tidak menghentikan aktiviti mereka bagi memastikan bekalan makanan terus mencukupi.

Pengarahnya, Norsiyenti Othman berkata, walaupun bekalan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini mencukupi, pihaknya perlu memastikan sumber makanan dapat terus diperoleh sepanjang tahun.

Menurutnya, petani tidak perlu bimbang mengenai hasil yang tidak dapat dijual kerana pihaknya bersama beberapa agensi di negeri ini seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) sedia membeli hasil-hasil tersebut.

“Kita meminta petani teruskan menanam supaya hasil dapat dikeluarkan secara berterusan, jadi kita ada bekalan makanan dan kami akan terus membantu mana-mana petani yang ada masalah.

“Semua agensi akan bekerjasama untuk memastikan masalah dihadapi petani diselesaikan asalkan tanaman tidak dibazirkan mahupun dibuang atau jangan berhenti menanam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak, di sini hari ini.

Norsiyenti berkata, hasil keluaran tanaman di Perak dari 28 Mac hingga 30 April adalah kira-kira 35,000 metrik tan.

Menurutnya, berdasarkan data-data tersebut menunjukkan jumlah bekalan sama seperti sebelum ini serta mencukupi dan tidak ada sebab untuk harga meningkat.

“Bekalan makanan kita cukup dan tidak sepatutnya ada isu kenaikan harga malah pengeluaran kita pun mencukupi.

“Setakat yang saya lihat di Perak, harga adalah biasa di pasar raya malah ada sesetengah komoditi seperti cili, harganya lebih rendah daripada biasa.

“Ini mungkin disebabkan Perak merupakan antara negeri pengeluar sayur dan buah-buahan terbesar di Malaysia,” ujarnya.

Beliau memberitahu, setakat ini terdapat 27,871 petani yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian dan hasil-hasil pertanian yang tidak dapat dijual boleh dimaklumkan kepada agensi berkaitan untuk dibuat pembelian.

Menurutnya, hasil yang dibeli akan disalurkan ke beberapa tempat untuk dipasarkan atau dihantar kepada dapur pusat untuk dimasak di seluruh daerah bagi semua petugas hadapan.

Di samping itu, katanya, hasil-hasil pertanian itu juga dibungkus dalam kotak-kotak bagi program bantuan yang dijual kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertujuan membantu rakyat memerlukan di kawasan masing-masing.