IPOH – Petani daerah Kerian diminta mengawal penggunaan air untuk tujuan pengairan sawah padi di sepanjang musim kemarau dan cuaca panas pada ketika ini.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, langkah itu disarankan Kerajaan Negeri Perak bagi memastikan penggunaan air di sawah dapat diminimakan, sekali gus mengelakkan daripada berlakunya masalah bekalan air.

Menurutnya, kesemua petani juga hendaklah memastikan pintu air ke sawah dapat dikawal dengan tidak membuang air sewenang-wenangnya bagi mengelakkan pembaziran air.

“Kalau kita bazirkan air di sawah dalam keadaan cuaca panas sekarang boleh menjejaskan tanaman padi.

“Kerjasama mengawal bekalan air ke sawah juga boleh menjimatkan air daripada terbuang begitu sahaja,” katanya kepada media di sini hari ini.

Abdul Yunus berkata, kesemua agensi kerajaan seperti Kawasan Pertanian Bersepadu (IADA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Pertanian Kerian juga sentiasa bekerjasama dalam memastikan bekalan air dari Kolam Bukit Merah mencukupi bagi tujuan pengairan sawah pada musim panas ketika ini.

“Justeru, para petani diminta mematuhi arahan kesemua agensi pertanian berkaitan dalam mengawal penggunaan air di sawah sepanjang musim penanaman padi.

“Kita tidak mahu episod kekurangan bekalan air untuk tujuan pertanian sebagaimana berlaku sebelum ini berulang dan semua pihak termasuk petani harus memainkan peranan masing-masing,” katanya – sinar harian