IPOH : Kira-kira 30 petani kecil dari tiga kawasan di Chemor mendesak kerajaan negeri menunaikan janji dalam menyelesaikan masalah isu tanah pertanian yang telah diusahakan lebih 50 tahun.

Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr. D. Jeyakumar menegaskan, sebelu ini pihaknya telah beberapa kali menyerahkan memorandum berhubung isu itu untuk perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, namun tiada sebarang perbincangan dilakukan.

Ujarnya lagi, antara kawasan pertanian yang terlibat ialah Tanah Hitam II, Sungai Bali, Kuala Kuang dan Tanah Hitam I.

“Masalah di Tanah Hitam II melibatkan tanah yang mereka usahakan dalam proses diambil oleh Pejabat Tanah, kononnya untuk dianugerahkan kepada pasukan bola sepak Perak.

“Untuk di Sungai Bali, Kuala Kuang pula tanah itu diberi milik kepada sebuah syarikat pada tahun 2007 dan sekarang syarikat itu sedang cuba mengusir para petani.

“Tanah Hitam I pula, petani diusir dari kebun pada tahun 2001 dan diberi 1 hingga 2 ekar tanah di kawasan anak bukit bersebelahan dengan Lesen Pendudukan Sementara, malangnya tanah gantian ini pula diberi milik kepada sebuah syarikat,” katanya.

Jeyakumar berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili para petani yang terlibat untuk menyerahkan memorandum kepada Pegawai Tadbir Pejabat Menteri Besar, Shaza Mohd Shah, di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berharap isu ini dapat diselesaikan segera kerana tanah tersebut merupakan punca pendapatan utama untuk para petani.

“Kami diberitahu oleh pegawai yang menerima surat kami bahawa surat itu akan dipanjangkan untuk perhatian Menteri Besar, tapi malangnya sampai sekarang kami belum dihubungi oleh pihak mereka atau Pejabat Tanah Kinta untuk sesi dialog.

“Dalam kes Tanah Hitam II, Menteri Besar sendiri umumkan dalam surat khabar yang semua petani telah diberikan tanah gantian, tetapi itu tidak berlaku malah sampai sekarang langsung tiada mesyuarat untuk uruskan perkara tersebut,”katanya.

Tambahnya, beliau sebolehnya mahu Menteri Besar menetapkan satu tarikh untuk mengadakan perjumpaan seterusnya menyelesaikan kes tersebut.