SUNGAI MANIK: Petani mesti bersedia untuk mengubah sikap sekiranya ingin berjaya seperti petani di Belanda dan Taiwan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, mereka juga perlu meningkatkan ilmu pertanian bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Beliau memberi contoh, petani di Belanda terdiri daripada golongan yang kaya raya, walaupun negara itu hanya sebesar negeri Pahang.

“Petani kita kena ubah sikap, tingkatka ilmu pertanian jika mahu menjadi seperti mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Jalinan Tani Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak di PPK Sungai Manik di sini pada Sabtu.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman, Exco kerajaan negeri yang juga ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, ADUN Changkat Jong, Datuk Azhar Jamaluddin dan Pengerusi PPN Perak, Datuk Nadzr Ismail.

petani ubah sikap 4

Sementara itu, Tajudin di dalam ucapannya berkata, pertubuhan peladang mesti turun padang mendengar masalah ahli dan membantu menyelesaikannya.

“Peranan utama pertubuhan peladang untuk bantu tingkat sosio – ekonomi petani. Tidak guna kalau pertubuhan peladang catat untung berjuta-juta tetapi ahlinya tidak ke mana,” kata beliau.

Menurut Tajudin, kerajaan serius untuk mengubah sikap petani di negara sehingga mengadakan program Gelombang Tani yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Sementara itu, Nadzri berkata, PPN Perak komited untuk mengambil bahagian di dalam program permukiman yang telah disertai sejak di daerah Bagan Datuk.

Sempena majlis itu, Dr Zambry turut merasmikan lori sejuk yang pertama milik PPN Perak bagi nengangkut dan memasarkan produk pertanian.

Lori berharga RM160,000 itu dijangka mampu memberi tambahan pendapatan Agrobazar milik PPN Perak sebanyak RM100,000 setahun.