Jakarta: Seorang daripada 100 petani yang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan di hadapan Istana Presiden setiap hari sejak minggu lalu meninggal dunia ketika dibawa ke hospital di Jakarta awal semalam.

Patmi, 48, meninggal dunia selepas dibawa dari pejabat Yayasan Institut Bantuan Guaman.

Dia dan kira-kira 50 rakan petaninya menanam kaki mereka dalam blok simen sejak minggu lalu kerana membantah pembinaan sebuah kilang simen berhampiran kampung mereka di Kendeng, Jawa Tengah.

Menurut pegawai, Patmi meninggal dunia akibat sakit jantung.

Mereka mengadakan tunjuk perasaan di hadapan istana dengan harapan Presiden Joko Widodo atau Jokowi sedar mengenai nasib mereka jika pembinaan kilang itu diteruskan.

Petani berkenaan mendesak Jokowi membatalkan lesen projek pembinaan kilang itu di Rembang, Jawa Tengah.

Dengan sokongan aktivis alam sekitar dan hak asasi manusia yang menggelar kumpulan mereka ‘Pakatan Solidariti Untuk Kendeng’ petani berkenaan melihat kilang itu sebagai ancaman kepada ekologi.

– Agensi