PASIR SALAK: Seorang petani kontrak warganegara Pakistan ditemui lemas akibat terjatuh ke dalam terusan semasa mencuci tangan di Felcra Peringkat 6/7, Jejawi, Kampung Gajah di sini pada Khamis.

Mangsa yang dikenali sebagai Ali Shaukat, 28, dikatakan baru sahaja menjalankan kerja-kerja meracun di sawah padi Felcra Kampung Gajah.

Menurut Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso, mangsa bersama-sama dua lagi kawannya menjalankan kerja-kerja meracun di kawasan tersebut pada jam 9 pagi.

“Selesai meracun, ketiga-tiga mereka menaiki motosikal bergerak ke satu terusan berhampiran untuk mencuci tangan.

“Ketika kedua-dua kawan mangsa masih berada di atas motosikal, mangsa terus turun ke tebing terusan untuk mencuci tangan.

“Tiba-tiba, mereka mendapati mangsa sudah tiada di tebing dan hanya ternampak sepasang selipar, baju serta penutup muka di tebing terusan itu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya lagi, kawan mangsa cuba untuk mencari mangsa namun tiada dan dipercayai tenggelam di terusan yang berkedalaman lebih kurang 15 kaki.

Ujarnya lagi, ,mayat mangsa dijumpai jam kira-kira 1.35 petang dengan bantuan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak (JBPM).

Mayat mangsa ditemui di dasar terusan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.