KUALA LUMPUR: Sebanyak 83,000 undi diterima bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Sehingga jam 5.30 petang tadi, jumlah berkenaan terus meningkat bagi menunjukkan bantahan orang ramai terhadap ICERD.

Pengumpul petisyen bantahan ratifikasi, Lukman Sheriff berkata, dia tidak boleh menerima cara ratikasi ICERD yang dilakukan tanpa perdebatan dan rundingan awam.

Beliau berkata, ICERD jelas bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia malah membelakangkan Majlis Raja-Raja.

“Menurut ICERD, negara yang meratifikasinya hendaklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi kaum termasuklah dari segi undang-undang.

“Definisi dan skop ICERD bertentangan dengan Artikel 153 Perlembagaan Malaysia. Artikel 153 memberi kedudukan istimewa kepada kaum Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak dalam beberapa perkara yang bercanggah dengan skop ICERD,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook.

Katanya, beberapa perkara bakal berlaku sekiranya ICERD diratifikasikan iaitu penutupan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM); penghapusan Tanah Rizab Melayu, biasiswa Bumiputera, diskaun rumah untuk Bumiputera dan syarat Bumiputera dalam tender dan lesen perniagaan serta diskriminasi ke atas Rejimen Askar Melayu Diraja.

Beliau berkata, menurut Artikel 5 ICERD, negara yang meratifikasinya hendaklah menghapuskan diskriminasi kaum dalam politik jika penubuhan parti itu berdasarkan kaum.

“Sebagai contoh, KOMAS menyenaraikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sebagai diskriminasi perkauman dalam laporannya di ‘Malaysian Racial Discrimination Report 2016’.

“Berdasarkan di atas, adalah jelas ICERD bercanggah dengan peruntukan perlembagaan negara dan tidak boleh diratifikasikan,” katanya.

Beliau berharap orang ramai akan terus menandatangani petisyen bantahan ICERD di laman https://chn.ge/2O2o7ep atau https://www.facebook.com/669402819/posts/10155469769517820/.

berita harian