KUALA LUMPUR : Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah membuat petisyen bagi mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah, Mohamad Nazaruddin Sabtu meletakkan jawatan.

Petisyen dalam talian yang dilancarkan pada 26 November lalu kini ditandatangani oleh 1,785 orang setakat jam 10 pagi ini.

Usaha itu digerakkan oleh Barisan Nasional (BN) Kuala Pilah yang menyasarkan 5,000 tandatangan.

Timbalan Ketua Pemuda MIC, R Vickness berkata, pihaknya berharap petisyen itu dipandang serius oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, ADUN Pilah tidak cekap melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat berikutan kesihatannya dan keadaan itu sudah berlarutan sejak lebih setahun lalu.

“Sehingga kini, tiada kepastian beliau (Nazaruddin) boleh sihat sepenuhnya dan melaksanakan tugasnya dengan baik. Sampai bila lagi kami (pengundi) perlu bersabar menunggu beliau pulih.

“Kami mendesak Menteri Besar supaya mengambil serius perkara ini dan prihatin terhadap tahap kesihatan ADUN Pilah. Beliau perlu berehat dan mendapatkan rawatan sebaiknya.

“Kami menyeru Nazaruddin melepaskan jawatan supaya pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi memilih wakil rakyat yang lebih layak membela rakyat,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan demonstrasi mendesak Nazaruddin meletakkan jawatan, hari ini.

Kira-kira 40 orang terdiri daripada UMNO, MIC dan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) menyertai demonstrasi berkenaan yang berlangsung selama 30 minit.

Pada 26 November lalu, Pemuda dan Wanita BN Negeri Sembilan mengadakan demonstrasi di hadapan Wisma Negeri, Seremban, selepas tular mengenai keadaan Nazaruddin yang tidak dapat mengikuti sepenuhnya Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua DUN Negeri Sembilan Ke-14.

Nazaruddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri pada sidang media hari sama, memaklumkan tahap kesihatannya bertambah baik dan sudah kembali menjalankan tugas.