KUALA LUMPUR: PETRONAS mencatatkan keuntungan bersih RM45.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, melonjak 91 peratus berbanding RM23.8 bilion pada 2016.

Ia disokong oleh pendapatan yang meningkat 15 peratus kepada RM223.6 bilion.

Jumlah aset pengeluar minyak nasional itu, bagaimanapun rendah sedikit kepada RM599.8 bilion setakat 31 Disember 2017 berikutan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, pemulihan harga minyak mentah global memainkan peranan penting dalam pengukuhan prestasi firma minyak dan gas negara itu pada 2017.

Beliau berkata, langkah mengoptimumkan kos dan kemajuan dalam kecekapan juga menyumbang kepada prestasi kewangan yang kukuh itu.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan prestasi kewangan PETRONAS bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, di sini, hari ini.

PETRONAS mengumumkan pembayaran dividen sebanyak RM13 bilion kepada kerajaan berdasarkan prestasi kewangan kumpulan itu pada 2016.

Bagi 2018, pengeluar minyak nasional itu komited untuk menyumbang sebanyak RM19 bilion dividen kepada kerajaan – berita harian